Jgn lupa melanggan RSS Feed blog ini untuk mendapatkan tips-tips menarik dari Genius Baby On Board.

Masukkan alamat emel anda di sini:




Tuesday, May 17, 2011

FAMEKids On Media: Usah Sembunyi Anak Istimewa @ Sinar Harian

Saya menerima SMS dan penggilan dari Mommy Lyna pd hari Isnin selepas Majlis Besar kami pd hari Ahad 8 Mei lalu, bertanyakan samada saya free atau tidak pada hari Rabu supaya kami boleh ditemuramah bersama-sama oleh pihak Sinar Harian mengenai FAMEKids. Pihak Sinar Harian sepatutnya datang juga pada hari Ahad tetapi pada saat-saat wartawan bernama Farhana ingin keluar rumah, beliau menerima panggilan dari seseorang yang "seseorang" itu ingin BUNUH DIRI! Dan, dengan kelam kabutnya Farhana ke tempat kejadian, malangnya "seseorang" itu sudah pun mati menggantung diri. Lyna cerita pada saya, saya tak tahu nak kesian ker, nak tergelak! Serius!! Satunya - "Aik... ko nak mati pun boleh sempat nak call wartawan lagi? Ko ingat ko ni Curt Cobain ker? Pas mati kecoh satu dunia dan semua orang beli album giler-giler sampai jadi jutawan lepas mati? Mati pun nak glamer masuk paper ker?". Dan keduanya - "Kenapalah senang-senang jer nak cabut nyawa sendiri macam seolah-olah nyawa ko nih macam game "Angry Bird" kat Ipad tuh? Mati skali ada 3 lagi birds menanti! Tipis nya iman ko hadoiiii....!" 

Saya berkira-kira nak balik rumah selepas penat "mengerjakan" office lepas majlis, sudahnya tak jadi balik sebab leceh nak ulang-alik ke pejabat dan berhangkut kesana kemari dengan anak-anak, dan bersetuju sahaja dengan cadangan Lyna untuk ditemuramah. In fact, saya berterima kasih pada Kak Aida & Salwani yang sudi menemuramah kami berkenaan FAMEKids & juga perniagaan yang kami jalankan. Terima kasih kerana menyokong kami kak. :) Kak Aida siap bawak sample keratan akhbar Sinar Harian di mana kisah FAMEKids  akan dimuatkan diruangan Citra keluaran hari Ahad ini, katanya. Kak Aida sampai kira-kira pukul 3 dan kami meluangkan masa kira-kira 1 - 2 jam untuk ditemuramah, ditemani 2 bunga saya dan 2 kumbang Lyna .. :) Hhehehe.. Saya risau juga kalau si Qarissa akan buat perangai mengamuk-ngamuk  sebab boleh nampak dia kepenatan tapi suprisingly, dia baik-baik sahaja. Yang paling tak tahan tuh, nampak jer Abang cameraman fokus nak amik gambar, dia punya tersengih dan bergaya, punyalah poyo! Mentang2 camera tuh kemain panjang lensenya .. sampai Kak Aida pun tergelak tgk aksi Qarissa.. dia memang sungguh hover kalau ada camera mahal tau! Aku pun tak tahu siapa yang ajar! (Padahal aku rasa dia ikut gen aku lah ..pantang nampak camera! Wakakaaakak...cuma bezanya, semua camera hatta camera phone pun aku belasah jer .. tapi Q nih pandai pilih - Camera DSLR sahaja menjadi pilihan yer .. kalau setakat camera cap Ayam yg macam aku punya - bolayan dia nak senyum lebih2! Cait! ) 


Alhamdulillah, rencana mengenai FAMEKids sudah pun terbit kelmarin iaitu pada hari Ahad,15 Mei 2011. Pagi-pagi lagi saya sudah keluar dari rumah kakak @ Country Heights untuk bersiap sedia for my Seminar ECE yg akan dijalankan pada pukul 9.30 am. Sampai-sampai jer  opis, terus saya beli paper Sinar Harian kat ane tepi jalan tuh, tapi cuma ada sekeping sahaja! Adoi.. baru nak borong banyak2 sket. Saya tak puas hati, saya pergi pulak Petronas yg berdekatan dengan pejabat, pun sama! Ada sekeping jer! Adoi.. takkan semua orang borong Sinar Harian nak tgk FAMEKids kot? (wakakakaka.....perasan giler nih! Tak sodar diri! ahahahhaha). Saya pun beli jugak dan pastu saya mintak tolong hubby carikan kalau dapat lagi 3 keping, saya nak beli 5 sebab sebelum nih, masa cerita Bayi Genius kuar kat Harian Metro, saya beli 4 keping tapi hubby kata saya kedekut sebab tak beli lebih, so skang saya beli lebih sekeping, tak kedekut dah kan? Wakakakakakakak.....

As usual, tak menyempat-nyempat naik opis, saya lepak dan baca dalam kereta. Waduh, sungguh cantik sekali penulisan Kak Aida dalam rencana tersebut sampai saya terharu dan hampir melelehkan air mata membaca hasil nukilan beliau selepas menemuramah kami. Terus saya jadi rindu pada Zayra & Qarissa di rumah. Tak sangka, ia juga berjaya membuatkan rakan-rakan rapat saya menangis. Sedih betul mereka especially cerita berkenaan saya dan suami berbincang hati ke hati dan tentang baju berlengan pendek Zayra tu. Hu hu, memang pun, saya masih ingat, lepas balik dari hospital, saya dan suami lepak di atas katil, dan kami berbincang tentang masa depan Zayra. Memang part baju lengan pendek @ baju takder lengan tuh membuatkan kami berdua rasa sayu dan sedih juga. Nama pun anak perempuan kan, tangan kanan pulak tuh, tapi itu cerita lama. Sekarang cuma cerita-cerita yang menggembirakan dan menginpirasikan sahaja yang mengelilingi kami sekeluarga. Hebat kan kuasa allah SWT? :) Syukur Alhamdulillah. 


Kebetulan, dalam segmen Citra itu juga ada berita mengenai Kanak-Kanak Istimewa juga, yang saya rasakan sungguh besar pahala ibu-ibu tersebut menjaga anak-anak mereka yang istimewa itu. Seperti yg pernah saya katakan dalam entri sebelum ini, saya dan Lyna rasa "kecil" bila berhadapan dengan ibu-ibu yang mempunyai anak istimewa yang mana keistimewaannya lebih lagi berbanding apa yang dialami Zayra & Fahry. Bak kata Lyna, Fahry & Zayra ni takder apa pun, mak dorang yg hover! Hahahha.. Siut jer Lyna ..:) Insya Allah, saya dan Lyna serta rakan FAMEKids yang lain seperti Haslina a.k.a Mommy Hasya akan cuba memaksimumkan aktiviti untuk para ibu bapa ini di FAMEKids. Sekarang kami dalam perancangan untuk buat satu sessi iaitu "Clinic Sawan" yang akan fokus on masalah sawan yang menyerang kanak-kanak. Saya takmo cerita lebih sgt sebab masih dalam perancangan, masa dan tarikhnya masih dalam perbincangan. Yang pasti, 2 kaedah rawatan akan dilakukan iaitu rawatan alternatif dan rawatan klinikal. So, akan ada 2 -3 orang yang pakar dalam rawatan aternatif dan Doktor bertauliah akan bg talk mengenai sawan ini, Insya Allah. Nanti kalau dah ada detailnya, saya akan maklumkan di sini. 

Bagi mereka yang terlepas membeli Sinar Harian edisi Ahad minggu lalu, Watie lampirkan di sini artikelnya dan bagi anda yang mempunyai blog, facebook atau website, tiada apa yg saya harapkan kecuali anda bantu kami menyebarkan tentang penubuhan FAMEKids ini agar lebih ramai yang tahu dan lebih ramai yang boleh menyertai kami. Terima kasih sekalung budi, hanya Allah SWT yang mampu membalas budi baik anda menyebarkan tentang FAMEKids ini. :) 

********************************************************

Anak istimewa cetus idea FAMEKids
Dua sahabat tubuh kumpulan sokongan untuk jalin hubungan sesama ibu bapa yang punya anak kelainan upaya.

“Saya mengenali Lyna sebagai salah seorang rakan blog. Dalam satu pertemuan, kami sama-sama membawa anak. Sebagai seorang yang suka bergurau, saya memujinya kerana memakaikan anak seluar panjang. 

“Setelah balik rumah dan membaca blog Lyna, baru saya perasan anaknya itu istimewa. Waktu itu terdetik perasaan bimbang jika dia terasa hati dengan gurauan saya,” kata Norhidawati Abdul Aziz yang mesra dipanggil Watie, 31, tatkala mengimbau semula detik awal dia mengetahui kecacatan dialami putera kedua Siti Nurazlina Noh, Fahry Al-Hazim. 

Justeru sebaik sahaja melahirkan anak kedua, Rania Quzayra Rizal yang kini berusia setahun sebulan, Watie terus terkenangkan Fahry. Hal ini kerana Quzayra turut mengalami kecacatan pada bahagian tangan. 

Akui Watie, setelah berada dalam ‘kasut’ Lyna barulah dia mengerti apa yang diperlukan oleh ibu yang mempunyai anak istimewa seperti mereka. Sebenarnya apa diharapkan daripada masyarakat bukanlah kata-kata simpati dan pandangan pelik, tetapi layanan sama rata. 

“Anak istimewa sebenarnya mampu hidup berdikari jika mendapat sokongan yang betul. Ibu bapa tidak perlu rasa malu dan menyembunyikan anak di rumah. Inilah yang cuba kami sampaikan menerusi FAMEKids,” ujar Watie. 

Ditubuhkan pada Januari 2011, FAMEKids yang merupakan hasil buah fikiran Watie dan Lyna berfungsi sebagai sebuah kumpulan sokongan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya sama ada dari segi fizikal, masalah pembelajaran, perkembangan dan sebagainya. Persatuan ini juga diharapkan menjadi jambatan penghubung antara mereka agar dapat memberikan keyakinan dan sokongan antara satu sama lain menerusi pertemuan dari masa ke semasa. 

Pertemuan pertama FAMEKids yang merupakan gabungan perkataan Fabulous, Amazing, Miracle, Extraordinary, sudah pun berlangsung 8 Mei lalu di Wisma Bling Lustre, Taman Meranti Jaya, Puchong. Kira-kira sepuluh keluarga hadir bersama anak istimewa mereka pada hari berkenaan. 


Hak anak istimewa

Mengulas lanjut pengalaman sendiri ketika mula-mula mengetahui dirinya mempunyai anak OKU, Watie menyifatkan reaksinya sama seperti mana-mana ibu jika berada di tempat sama. Apatah lagi, kecacatan Quzayra hanya diketahui selepas kelahirannya. 

“Walaupun suami kata anak kami ok, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena daripada perubahan di wajahnya. Telahan itu benar kerana saya mendapati sebelah tangan anak saya kecil sedikit,” tutur Watie. 

Rupa-rupanya Quzayra mengalami symbrachydactyly, di mana tulang tangannya tidak tumbuh sejak dalam perut lagi. Apa yang mengejutkan, kecacatan jenis ini sangat jarang berlaku iaitu 1 nisbah 32,000 dalam setiap kelahiran. 

Dek kerana terlalu terkejut, Watie tidak mampu tidur lena pada malam selepas melahirkan dan tekanan darahnya naik mendadak. Bagaimanapun selepas itu dia reda kerana tahu dirinya perlu bangkit meneruskan kehidupan. Apatah lagi anak sulung, Rania Qarissa sedang menanti untuk kembali bermanja dengan ibunya setelah kelahiran adik. 

“Saya dan suami kemudiannya duduk berbincang dari hati ke hati. Saya katakan padanya, saya mahu melayan Quzayra sama seperti kakaknya termasuk dari segi berpakaian. 

“Bagaimanapun saya memerlukan sokongan kerana keadaan akan jadi kekok jika suami berfikiran sebaliknya. Contohnya kalau dia malu apabila anak dipakaikan baju berlengan pendek,” kata Watie yang bersyukur bukan kepalang apabila suami, Saiful Rizal Che Mat, berpandangan sama dengannya. 

Bagi Lyna dan suami, Zainul Anuar Samni pula, mereka sudah bersedia lebih awal dengan sebarang kemungkinan ketika kelahiran Fahry. Hal ini kerana pendarahan yang berlaku ketika kandungan baru berusia 28 minggu menghantar isyarat bahawa kemungkinan untuk bayi selamat adalah tipis dan jika selamat sekali pun, mungkin ada masalah yang akan dihadapi. 

“Saya berdoa pada Allah jika mendapat anak istimewa sekali pun saya tidak kisah kerana ingin menjaga amanahnya dengan baik. Lagipun Dia sudah memberikan saya anak pertama, Hafiy Al-Fateh yang lahir sempurna,” bicara Lyna yang baru menimang cahaya mata ketiga, Danny Al-Firas, dua bulan lalu. 

Kesan sindrom Amniotic Band, sebelah kaki Fahry di bahagian betis tidak dapat diselamatkan. Lyna dan suami bagaimanapun tidak menganggap kelainan dialami anak mereka sesuatu yang mampu menghalang proses tumbesaran seperti kanak-kanak lain. Justeru mereka memberikan Fahry kaki palsu sejak usianya 9 bulan lagi. 

Seperti Watie, Lyna turut mendaftarkan anaknya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tindakan ini dikira agak janggal kerana kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menganggap pendaftaran di JKM hanya perlu setelah anak dewasa. 

“Mengapa perlu menunggu hingga mereka dewasa. Ini antara hak anak istimewa yang ingin kami sedarkan. Mendaftar dengan JKM bukan bermakna kita mahu mengambil kesempatan atas keistimewaan yang diberikan kepada mereka tetapi bayangkan jika kita sudah tiada dan mereka masih belum didaftar. 

“Siapa mahu membela hak mereka kelak? Antara kelebihan yang diberikan kepada OKU yang mendaftar adalah hak mendapat diskaun tertentu, kemudahan istimewa, pemberian geran untuk memulakan perniagaan dan banyak lagi,” sampuk Watie. 

Seperti Lyna yang tidak pernah malu malah berbangga mempunyai anak istimewa, Watie sempat berkongsi satu insiden yang menyentuh hatinya, baru-baru ini. 

“Saya sering mengajar Quzayra agar menggunakan segala potensi yang ada pada diri termasuk tangannya yang tidak bertulang itu. Satu hari, saya terkejut melihat dia mampu membuka tin susu menggunakan tangan dan gigi. 

“Dia juga mempunyai cara tersendiri untuk bertepuk tangan iaitu menepuk menggunakan sebelah tangan yang normal pada bahagian lengan atau pun dada,” ujar Watie dalam nada terharu. 

Anda boleh menyatakan sokongan terhadap FAMEKids dengan menambah mereka sebagai rakan jaringan sosial Facebook di www.facebook.com/famekids.


********************************************************
Semoga dengan terbitnya rencana mengenai FAMEKids ini, kami dapat mengumpulkan lebih ramai ibu bapa istimewa dan sama-sama kita dapat menggembelengkan tenaga untuk memastikan anak-anak kita dilayan sama rata seperti anak-anak yang lain, tidak di diskriminasikan, tidak dianggap menumpang di sudut dunia dan bila tiba masanya, dia akan pergi jua. Seperti yang sering kita dengar, mati sudah pasti, hidup belum tentu. Tapi bila hidup, lakukanlah sesuatu untuk anak kita yang tersayang, berusahalah kerana itu juga saranan Rasulullah SAW.Janganlah sesekali berharap tuah akan datang bergolek di hujung kaki kita kalau kita sendiri tidak berusaha mengubah keadaan. Kami perlukan pandangan, idea dan buah fikiran anda semua untuk memastikan FAMEKids berjaya mencapai matlamatnya. Insya Allah, dengan sokongan semua, kita akan berjaya. Amin .:) 

post signature

post signature

No comments: